Ahmad Fazrin Naharoddin (kanan) dan adiknya Mohamad Hafiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata pisau dan parang Oktober lalu.

IPOH – Dua beradik dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata pisau dan parang, pada Oktober lalu.

Tertuduh, Ahmad Fazrin Naharoddin, 31 dan adiknya Mohamad Hafiz, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Fazrin didakwa merompak dua unit telefon bimbit dan wang tunai RM130 milik seorang wanita, di sebuah kedai di Taman Seri Meru, kira-kira jam 9 malam, 5 Oktober lalu.

Selain itu, dia turut didakwa bersama seorang yang masih bebas merompak wang tunai RM216 dan sebentuk cincin emas milik seorang wanita di sebuah farmasi di Jalan Tun Abdul Razak, sekitar jam 12.30 tengah hari, keesokkannya.

Pada 17 Oktober lalu, dia didakwa bersama seorang yang masih bebas, merompak RM400, kad pengenalan dan kad bank milik seorang wanita di sebuah kedai di Taman Perindustrian Menglembu Jaya, kira-kira jam 6.30 petang.

Dalam pada itu, Ahmad Fazrin turut didakwa bersama-sama adiknya, Mohamad Hafiz melakukan rompakan berkumpulan ke atas dua wanita berbeza di Desa Rishah Indah dan Desa Rishah Menglembu, pada 12 dan 23 Oktober lalu.

Sehubungan itu, kedua-dua beradik tersebut didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi Seksyen 397 Kanun Keseksaan pula, memperuntukkan hukuman sebat, selain dari apa-apa hukuman yang boleh dikenakan di bawah mana-mana seksyen lain kanun ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj dan Qurratu’aini Khalifah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam R R Segaran.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Ahmad Fazrin mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan pecah rumah di Taman Mei Kin, Pasir Puteh antara jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang, 20 Oktober lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda dan jika sabit kesalahan dimaksudkan mencuri, hendaklah dilanjutkan hukuman penjara sehingga 14 tahun.

Di mahkamah sama, Mohamad Hafiz didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 34.87 gram, di tepi Jalan Rapat Baru, kira-kira jam 4.45 petang, 23 Oktober lalu.

Berikutan itu dia didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana kes melibatkan hukuman mati.

Selain itu, Mohamad Hafiz turut didakwa mencuri bekas syiling berisi RM500 dari sebuah kedai di Taman Rasi Jaya, Menglembu pada 17 Oktober.

Dia juga didakwa mencuri tabung derma milik masjid dan surau di sebuah kedai menjual santan di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi pada 14 September lalu.

Bagi kedua-dua tuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Nabilah Norzam dan Nurul Hidayu Zakaria.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam R R Segaran.

Berikutan itu, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret membenarkan Ahmad Fazrin diikat jamin RM27,000 bagi kesemua pertuduhan manakala Mohamad Hafiz RM10,000 dan menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 24 Oktober lalu MalaysiaGazette Perak melaporkan, kedua-dua suspek cuba meloloskan diri termasuk menyeret salah seorang anggota polis yang menghalang kenderaan dinaiki mereka.

Namun cubaan tersebut tidak berhasil apabila berjaya ditahan di dua lokasi berasingan di Labu Kubong, di sini dan Ipoh.

Polis turut melepaskan satu das tembakan ke arah hadapan cermin kereta yang dinaiki suspek bagi mempertahankan diri anggota yang diseret kenderaan suspek berhampiran masjid di Labu Kubong. – MalaysiaGazette