Ayman Safadi

AMMAN – Jordan mengambil langkah terbaharu dalam usaha menamatkan serangan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap Palestin.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi berkata, negaranya tidak akan menandatangani perjanjian pertukaran tenaga dan air dengan Israel berikutan serangan yang dilakukan oleh rejim zionis tersebut.

Perjanjian pertukaran tenaga kepada Israel sebagai pertukaran air dirancang untuk disahkan bulan lepas.

“Kami tidak akan menandatangani perjanjian ini lagi. Bolehkah anda bayangkan seorang menteri Jordan duduk di sebelah menteri Israel untuk menandatangani perjanjian air dan elektrik, sementara Israel terus membunuh kanak-kanak di Gaza?” soalnya seperti yang dilaporkan oleh Al Jazeera.

Safadi menegaskan, usaha Jordan kini tertumpu untuk menamatkan apa yang beliau sifatkan sebagai ‘kebiadaban balas dendam yang dilakukan oleh Israel’ di Gaza.

Katanya, pencerobohan dan jenayah Israel tidak lagi boleh dibenarkan sebagai mempertahankan diri kerana ia turut membunuh orang awam yang tidak bersalah dan menyerang hospital.

“Jika mana-mana negara lain melakukan sebahagian kecil daripada apa yang Israel lakukan sekarang, kita akan melihat sekatan dikenakan ke atasnya dari setiap sudut dunia,” tambahnya.

Safadi sebelum ini mengutuk pengeboman Israel di sekitar hospital medan Jordan di Gaza sambil menyifatkannya sebagai “jenayah perang.”

Jordan sedang menunggu hasil siasatan pasukan tenteranya terhadap insiden pengeboman berkenaan agar undang-undang, langkah diplomatik dan politik dapat diambil

Beliau menegaskan Israel tertakluk di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa di mana ia bukan sahaja bertanggungjawab melindungi hospital tetapi juga tidak menghalang operasinya.

Tentera Jordan dalam satu kenyataan pada Rabu lalu memaklumkan tujuh kakitangan hospital cedera ketika mereka cuba membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan udara Israel.- Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast