Muhammad Zahir Mazlan (kiri).

SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas 41,000 liter diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM59,400 dalam serbuan di dua premis berasingan di Port Dickson pada 16 dan 17 November.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam serbuan berkenaan tiga lori tangki, dua lori serta pam dan hos telah disita dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM293,750.

Dalam serbuan di Kampung Kayu Ara semalam, pemeriksaan menyeluruh terhadap sebuah lori tangki mendapati aktiviti pemindahan diesel dari lori ke sebuah lagi lori tangki telah pun selesai.

“Manakala, dalam serbuan di Kampung Jawa dua hari lepas, kegiatan terbongkar apabila penguat kuasa KPDN membuat pemeriksaan ke sebuah premis yang dijadikan stor tempat pemindahan diesel dari lori ke lori disyaki untuk penyelewengan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata tujuh lelaki tempatan berusia 21 hingga 51 tahun ditahan kerana disyaki berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Muhammad Zahir berkata dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, KPDN negeri komited dan meneruskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkat kawal seliaan dan operasi pengedaran barang-barang kawalan di seluruh negara. – Bernama