Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan trend pendaftaran dan pembukaan akaun bank atas nama syarikat dengan tujuan untuk dijadikan keldai akaun bagi tujuan penipuan pelaburan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati pembukaan akaun bank atas nama syarikat menjadi pilihan sindiket kerana membolehkan transaksi kewangan dilakukan secara lebih kerap dan melibatkan jumlah amaun lebih besar.

“Setakat ini, PDRM telah berjaya mengesan sejumlah 86 syarikat dan 70 perniagaan yang didaftarkan untuk tujuan sebegini.

“Satu kes menarik dalam kes ini apabila kita pergi mengesan tentang pengarah sebuah syarikat yang digunakan sebagai syarikat keldai akaun didapati pengarah memiliki pelbagai rekod lampau kes dadah sebelum ini.

“Malahan, pengarah itu sendiri tak tahu serta tidak sedar dia diperalatkan sebagai pengarah syarikat keldai akaun oleh sindiket tersebut melibatkan transaksi wang yang lebih besar,” katanya dalam sidang media mingguan di Menara KPJ hari ini.

Tambah beliau dalam perkembangan sama, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui bagaimana situasi berkenaan boleh berlaku.

“Ini satu perkara serius yang mana kelompangan dalam perundangan berlaku sehingga menyebabkan seseorang itu tidak sedar bahawa namanya digunakan untuk keldai akaun syarikat oleh sindiket.

“Jika perkara ini berterusan tanpa tindakan, ia bukan sahaja melibatkan kehadiran wang secara tidak sah di dalam negara ini tetapi juga ke luar negara,” ujarnya.

Sebagai langkah pencegahan, tegasnya PDRM mencadangkan agar prosedur serta syarat pendaftaran syarikat dan perniagaan diperhalusi dan diperketatkan.

Menurut Ramli lagi, beberapa kriteria seperti tapisan rekod jenayah dan rekod kewangan wajar dipertimbangkan untuk dijadikan sebahagian prasyarat sebelum pendaftaran sesebuah syarikat serta perniagaan itu diluluskan.

“Perkara yang sama disarankan PDRM dalam soal pembukaan akaun bank di
institusi kewangan yang mana semakan yang terperinci dan syarat yang lebih ketat
perlu dikenakan sebelum pembukaan akaun bank milik syarikat atau
perniagaan diluluskan.

“Adalah juga disarankan agar pihak kerajaan turut melihat cadangan “Shared Responsibility Framework” seperti yang diperkenalkan oleh kerajaan Singapura dalam usaha membendung kes ‘phishing scam’ di sana yang mana pihak institusi kewangan yang gagal melaksanakan peranan mereka dengan sewajarnya boleh dipertanggungjawabkan untuk membayar kerugian yang dialami oleh mangsa,” kata beliau lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast