Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Seorang Pengarah di sebuah syarikat mengalami kerugian lebih RM2.3 juta akibat terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud di laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 39 tahun pada jam 12.31 tengah hari 17 November lalu.

Katanya, siasat awal mendapati mangsa mengetahui tentang pelaburam saham tidak wujud itu menerusi media sosial Facebook.

“Mangsa yang dipercayai berminat dan tertarik telah menekan pautan pelaburan saham yang diberikan itu sebelum berkongsi nombor telefon bimbitnya untuk tindakan lanjut.

“Mangsa kemudian ditambah masuk ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang kemudian telah memberikan maklumat berkenaan cara dan kaedah untuk membuat pelaburan saham,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Iqbal, wanita berkenaan memindahkan wang simpanannya yang berjumlah RM2,378,000 dalam enam akaun bank berlainan seperti yang diarahkan bagi menyertai pelabiran itu.

Katanya, mangsa dimaklumkan kononnya telah mendapat keuntungan sebanyak RM256,000 tetapi ketika beliau cuba mengeluarkan wang keuntungan itu dia sekali lagi diarahkan membuat bayaran tambahan sebanyak RM523,000.

“Mangsa mula menyedari suatu tidak kena dan menyedari ditipu dan membuat laporan polis,” katanya.

Menurut Mohd Iqbal, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. – MalaysiaGazette