Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman (kanan) menunjukkan hasil rampasan dalam serbuan di sebuah rumah teres setingkat di sekitar bandararaya ini pada 17 November lalu.

KUANTAN – Taktik terbaru sindiket scammer menggodam kad kredit dan debit melibatkan mangsa dari negara Asia Barat berjaya dihidu pihak berkuasa.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ia berikutan tertangkapnya dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah teres setingkat di sekitar bandara raya ini pada 17 November lalu.

“Dalam serbuan hasil risikan selama dua minggu itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan berjaya tahan seorang pemuda berbangsa Cina berusia 23 tahun dari Pelabuhan Klang, Selangor dan seorang lagi berusia 24 tahun warga negara China dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Datuk Seri Yahaya Othman

Menurut Yahaya, sindiket itu akan mendaftar web palsu bagi tujuan mempromosi iklan pembelian barangan.

Jelasnya, tindakan itu dipercayai bagi menarik mangsa untuk mendaftar butiran kad kredit atau kad debit mereka.

“Butiran kad kredit/debit mangsa akan dipaparkan ke laman web sesawang yang dapat dilayari sindiket dan diubah setiap hari dipercayai dikawal ahli sindiket.

“Turut terpapar maklumat nombor 16 angka kad kredit/debit, nama pemilik kad, nama bank, nombor CVV, tarikh luput dan nombor pin keselamatan (OTP),” tambahnya.

Beliau memberitahu, kesemua kad kredit yang digodam adalah daripada pelbagai bank luar negara dan membabitkan transaksi menggunakan mata wang luar negara dari sekitar negara Asia Barat.

Anggaran keuntungan yang diperolehi sindiket tersebut pula katanya adalah sekitar RM20,000 sehingga RM30,000 sehari.

“Polis turut merampas tiga set komputer, 94 telefon pintar jenis iPhone, dua USB power supply, 83 kabel mengecas telefon bimbit, tiga rak kayu berwarna putih, 14 terminal pembayaran mudah alih, empat telefon pintar jenis Remi dan tiga telefon pinter jenis iPhone,” kata Yahaya.

Kedua-dua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk siasatan lanjut bagi penglibatan kes-kes lain.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun berserta sebatan dan denda.

Suspek juga boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan dengan denda atau kedua-duanya bagi kesalahan di bawah Seksyen 120 (B) (2) Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette