Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan ASEAN Framework Agreement on the Facilitation of Goods in Transit (AFAFGIT) bermula pada 1 Januari 2024.

Menterinya, Anthony Loke berkata, kerangka perjanjian AFAFGIT akan memudah cara pergerakan kenderaan barangan transit merentas sempadan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Ini adalah selaras dengan fungsi MOT sebagai peneraju industri logistik dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Pada 16 Disember 1998, negara anggota ASEAN menandatangani AFAFGIT untuk tujuan fasilitasi pengangkutan dan perdagangan.

“Ketika itu ia adalah usaha untuk menyokong pelaksanaan ASEAN Free Trade Area (AFTA),” katanya pada sidang media di Zenith Hotel, di sini, hari ini.

Tambah Loke, kerajaan mewartakan dua perundangan subsidiari bagi tujuan pelaksanaan AFAFGIT pada 20 November lalu.

“Antaranya Peraturan-Peraturan Pengangkutan Awam Darat (Peredaran Antarabangsa)(Kenderaan Barangan Rentas Sempadan ASEAN) 2023.

“Satu lagi ialah Kaedah-Kaedah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Peredaran Antarabangsa) (Kenderaan Barangan Rentas Sempadan ASEAN) 2023,” katanya.

Jelasnya, pergerakan kenderaan barangan dagangan transit berpendaftaran asing di antara negara-negara anggota ASEAN memerlukan instrumen permit.

“Ia dikenali sebagai ASEAN Goods Vehicle Cross-Border (AGVCB) Negara-negara anggota ASEAN melantik agensi kompeten di peringkat domestik untuk mengeluarkan permit AGVCB.

“Setiap negara anggota ASEAN layak mengeluarkan 500 permit AGVCB berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan.

“Sekiranya diperlu, bilangan permit boleh dipertingkatkan dengan persetujuan semua negara anggota ASEAN,” katanya.

Selain itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dilantik sebagai agensi kompeten yang akan mengeluarkan permit AGVCB di Malaysia.

“Syarikat pengusaha kenderaan barangan tempatan yang memenuhi syarat boleh mengemukakan permohonan secara atas talian kepada APAD bermula 1 Januari 2024.

Katanya, bagi menyokong pelaksanaan AFAFGIT, pihak berkuasa kastam negara anggota ASEAN akan mengguna pakai ASEAN Customs Transit System (ACTS) bagi pengikraran dan mengawal selia pergerakan barangan dalam transit.

“ACTS merupakan sistem perisian elektronik yang dibangunkan untuk tujuan pengoperasian AFAFGIT yang mengguna pakai satu kenderaan, satu jaminan dan satu pengikraran transit.

“Ia sebagai pemudah cara pergerakan barangan dalam transit merentasi sempadan negara-negara ASEAN bermula daripada negara asal, negara transit dan negara destinasi tanpa membuat pengikraran semula atau menukar kenderaan di negara yang dilalui.

“Di Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengoperasikan dan bertanggungjawab penuh ke atas sistem Acts,” katanya.

Tambahnya, pengoperasian AFAFGIT pada Januari 2024 akan dimulakan di Semenanjung Malaysia terlebih dahulu manakala pelaksanaannya di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan bermula setelah penyertaan Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina dalam Acts.

“Pelaksanaan AFAFGIT akan mengubah landskap sektor logistik negara secara drastik di mana aliran pergerakan kargo dan kenderaan perdagangan di kalangan negara-negara anggota ASEAN akan dilaksanakan secara seamless dengan penyelarasan proses pelepasan barangan dan kenderaan di sempadan.

“Ini dijangka merancakkan jumlah perdagangan negara khususnya dengan negara- negara anggota ASEAN

“Pelaksanaan AFAFGIT juga akan memberi peluang kepada syarikat-syarikat logistik tempatan untuk menembusi pasaran ASEAN dan seterusnya dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast