Chuan Buat meninjau dadah yang akan dilupuskan melibatkan 532.76 kilogram bernilai RM40.02 juta di IPK Johor Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor hari ini melupuskan 532.76 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM40.02 juta selepas mendapat perintah mahkamah.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, kes berkenaan semua sudah selesai dibicarakan di mahkamah dengan pelupusan membabitkan barang kes daripada 40,269 kertas siasatan bagi tempoh 1999 hingga 2025.

Kes berkenaan melibatkan pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 39B, 39A(1), 39A(2), Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Antara dadah utama yang dilupuskan ialah syabu seberat 264.59 kg bernilai RM29.10 juta, kanabis 138.52 kg (RM4.15 juta) dan heroin 78.98 kg (RM1.97 juta).

Beliau berkata demikian selepas proses pelupusan barang kes dadah dan peralatan memproses dadah JSJN Kontinjen Johor bagi tahun 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Antara dadah yang diluluskan selepas mendapat perintah selepas kes selesai di mahkamah

Katanya, turut dilupuskan serbuk ekstasi seberat 30.47 kg, pil Erimin 5 sebanyak 11.69 kg, pil ekstasi 5.66 kg, ketamin 2.70 kg dan pil yaba 0.41 kg.

Beliau berkata, selain dadah dalam bentuk pepejal, pelupusan turut membabitkan 10,072 liter dadah dalam bentuk cecair, termasuk 10,000 liter mitragynine atau air ketum dan empat liter codeine.

Beliau memberitahu, proses pelupusan dilaksanakan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara Bahagian D207 berkaitan pelupusan barang kes.

“Bagi memastikan pelupusan mematuhi piawaian alam sekitar, pihak JSJN Johor menggunakan khidmat dan kepakaran Kualiti Alam Sdn Bhd yang mempunyai kemudahan serta peralatan khusus untuk mengurus dan melupuskan buangan terjadual,” ujar beliau.

Polis Johor hari ini lupuskan 532.76kg dadah bernilai RM40.02 juta

Pelupusan akan dijalankan di Pusat Rawatan Sisa Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, katanya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan dadah yang dilupuskan itu dianggarkan mampu memudaratkan kira-kira 1.39 juta pengguna sekiranya disalahgunakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here