Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Beberapa sekolah antarabangsa di sekitar Lembah Klang hari ini menerima ancaman bom.

Tujuh daripadanya di Selangor manakala dua lagi di Kuala Lumpur, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan polis telah menerima laporan polis daripada tujuh sekolah antarabangsa mengenai ancaman tersebut.

Katanya, tujuh sekolah yang dikenal pasti menerima ancaman bom masing-masing dua sekolah di Petaling Jaya dan Shah Alam serta masing-masing satu di Kajang, Subang Jaya dan Kuala Langat.

“Sah boleh sahkan bahawa polis menerima laporan polis mengenai ancaman bom di tujuh sekolah di Selangor pagi tadi.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan secara serius dan mendalam tetapi percaya ia adalah ancaman palsu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi turut mengesahkan dua sekolah antarabangsa di kawasan daerah Wangsa Maju telah menerima ancaman yang sama.

“Bertindak atas maklumat dan laporan itu, polis telah memulakan siasatan kami untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Kedua-dua ketua polis negeri itu bagaimanapun tidak memperincikan secara spesifik nama-nama sekolah antarabangsa yang menerima ancaman bom itu.

Terdahulu organisasi sekolah antarabangsa menghantar mesej kepada ibu bapa mengenai ancaman bom yang tular di media sosial ke atas sekolah-sekolah antarabangsa di sekitar Lembah Klang.

Difahamkan mereka menerima e-mel tidak dikenali mencadangkan terdapat ancaman bom sekitar 9.30 hingga 10.15 pagi tadi – MalaysiaGazette