Tular gambar berhubung larangan nyanyian lagu tradisi bahasa Tamil pada karnival tersebut.

GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius dan prihatin berhubung isu larangan nyanyian lagu tradisi ketika penganjuran Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan 2023 di sebuah hotel di Kepala Batas.

Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.

“KPM tidak pernah menghalang nyanyian lagu tradisi dalam pelaksanaan acara bahasa, seni dan kebudayaan.

“Sebaliknya penganjuran acara sebegini memang sentiasa digalakkan kerana ia dapat meningkatkan minat murid selain memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum,” katanya hari ini.

Karnival itu berlangsung di sebuah hotel di Kepala Batas pada Selasa dan Rabu lalu.

Terdahulu, Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo meluahkan rasa kecewa atas tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu yang mengundang perselisihan dan pertelingkahan dalam kalangan rakyat susulan menghalang ‘Kadavul Valthu’ dan ‘Tamil Valthu’ dipersembahkan pada majlis perasmian Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan 2023 anjuran KPM.

Beliau turut mendesak campur tangan perdana menteri dan menteri pendidikan untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam kadar segera bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast