Datuk Seri Yahaya Othman

ROMPIN – Seorang peniaga wanita menjadi mangsa tawaran pekerjaan sambilan tidak wujud sehingga mengalami kerugian hampir RM100,000.

Ketua Polis Pahang berkata, Datuk Seri Yahaya Otman berkata, mangsa pada mulanya ditawarkan tugasan kerja bagi mempromosi hotel melalui iklan di aplikasi Telegram dan WhatsApp.

”Mangsa telah melihat iklan di aplikasi Telegram yang menawarkan kerja sampingan pada 28 Oktober lalu setelah berminat dia telah menekan pautan di aplikasi berkenaan.

”Kemudian mangsa disambungkan ke aplikasi WhatsApp dan telah berurusan dengan seorang wanita yang tidak dikenali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Yahaya, mangsa telah diminta untuk membuat tugasan menaikkan review hotel melalui aplikasi Bookingterra.

Wanita berusia 47 tahun itu dimaklumkan akan mendapat bayaran selepas menyiapkan kesemua tugasan untuk setiap hari namun mangsa perlu membuat deposit dahulu untuk membuat tempahan.

Lebih malang apabila mangsa telah melakukan lima kali tugasan promosi hotel dan mangsa telah membuat 20 kali transaksi pindahan wang milik mangsa ke 12 akaun bank yang berbeza berjumlah RM96,504.16.

Laporan polis dibuat oleh mangsa selepas merasai dirinya tertipu oleh suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette