Sekitar majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian Akademik (MoA) antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Institusi Pendidikan Tinggi ternama TVET China, Heilongjiang Agricultural Economics Vocational College (HAEVC).

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Institusi Pendidikan Tinggi ternama TVET China, Heilongjiang Agricultural Economics Vocational College (HAEVC) baru-baru ini menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian Akademik (MoA).

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, antara intipati kerjasama strategik itu adalah persetujuan antara UTeM dan HAEVC untuk bersama-sama membangun dan menawarkan program Diploma Pengurusan Teknologi dan E-Dagang.

Ujarnya, program itu selari dengan agenda pemerkasaan TVET aras tinggi UTeM di Malaysia dan rantau Asia dengan bergerak seiringan dengan HAEVC yang merupakan salah sebuah institusi pendidikan TVET aras tinggi terbaik di China.

“HAEVC juga merupakan institusi terbaik dalam penawaram program E-Dagang di peringkat diploma yang berada pada kedudukan 10 terbaik dalam kalangan kolej vokasional di China.

“Kerjasama ini juga meneguhkan hubungan erat antara dua negara iaitu negara Malaysia dan China di bawah projek Malaysia Luban Workshop.

“Projek tersebut merupakan projek pendidikan vokasional antarabangsa dalam memupuk profesional mahir di negara membangun dan salah satu elemen di bawah inisiatif The Belt and Road Initiative (BRI) yang mendapat pengiktirafan dan pembiayaan oleh Kementerian Pendidikan Negara China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh kedua-dua pihak secara dalam talian yang mana UTeM diwakili Naib Canselor, Prof Dr Massila manakakala HAEVC pula diwakili Secretary of CPC of HAEVC, Prof Yan Haimin.

Pada masa yang sama hubungan antara kedua-dua negara memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dengan gergasi industri di China seperti Alibaba (China) Education and Technology Co. Ltd. terutamanya dalam bidang yang berkaitan perdagangan elektronik.

Mengulas lanjut, kerjasama itu turut menzahirkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada UTeM kerana memperolehi laluan mudah bagi mendapatkan pelajar-pelajar dari negara China untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda di UTeM melalui jaringan strategik sekolah tinggi dan Institusi Pengajian Tinggi di China.

“Di samping itu platform tersebut membuka ruang dan peluang kepada tenaga pengajar di China untuk meningkatkan tahap pendidikan akademik ke peringkat yang lebih tinggi sebagai pelajar pascasiswazah di UTeM,” ujarnya.

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr. Zulkifilie Ibrahim, Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan, Prof Dr Mohd Syaiful Rizal Abdul Hamid dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGlobe), Prof Madya Dr. Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah.

Pihak HAEVC pula turut disertai Prof Zhang Jizhong, Deputy Secretary of CPC & President HAEVC, Prof Cong Peixin, Deputy Secretary of CPC, Prof Jiang Guijuan, Member of CPC & Vice-President HAEVC. – MalaysiaGazette