KUALA LUMPUR – Pembukaan The Exchange TRX (TRX) dan sistem terowong bawah tanah dalam tempoh tiga hari lagi dijangka menarik perhatian ramai.
Namun, kena ingat kerana TRX dan sektor gaya hidup TRX yang dibina oleh usaha sama 60-40 oleh syarikat hartanah antarabangsa Lend Lease Corp dengan 1MDB dirancang dan ditandatangani oleh Datuk Seri Najib Razak sejak tahun 2015 lagi.
Penganalisis politik tempatan, Lim Sian See berkata, malah kesemua penghuni dan pelabur di TRX ketika ini sudahpun dibuat oleh pentadbiran Najib sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dakwanya selepas PRU14, tiada lagi pelaburan signifikan di TRX lagi.
Namun, tambahnya, ramai pemimpin politik sekarang akan cuba ambil kredit walaupun tak buat kerja.
“Kerja tak buat, fitnah Najib tapi masih mahu ambil kredit Najib.
“Masa dahulu dorang juga yang kata pembangunan TRX ini tidak jalan. TRX cuma satu lubang besar,” bidasnya.
Beliau mengulas laporan media mengenai pembukaan Seibu, gedung beli-belah Jepun mewah pertama dan terbesar di Malaysia di The Exchange TRX pada 29 November ini.
Kedai itu, yang terdiri daripada empat tingkat, menempatkan lebih 700 jenama mewah, antarabangsa, kontemporari dan Jepun.
Lebih 100 jenama juga membuat penerokaan sulung mereka ke pasaran Malaysia melalui Seibu, yang juga akan menjadi tuan rumah kepada 110 jenama Jepun. – MalaysiaGazette