Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyokong penuh usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak tegas terhadap unsur-unsur komunisme.

Ketua Penerangan Pas itu berkata, tindakan penguatkuasa KDN merampas lapan buku berbahasa Cina berkaitan pemberontakan komunis di Tanah Melayu, membuktikan ideologi itu masih wujud dan hidup.

“Tahniah KDN, dalam bab ini kita sokong Menteri dan KDN. Kena bertindak tegas terhadap unsur-unsur komunisme, sememangnya ideologi ini masih wujud dan hidup.

“Perlu sentiasa prihatin dan terus bertindak jika ada unsur-unsur mahu dihidupkan semula ideologi yang bahaya ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, KDN perlu dilihat “peka dan sensitif” terhadap aduan orang ramai berhubung penerbitan buku yang didakwa mengandungi unsur yang melanggar undang-undang.

Susulan itu, Saifuddin sekali lagi mempertahankan tindakan penguatkuasa KDN merampas buku bagi tujuan siasatan.

“Biar kita benarkan proses berjalan. Kritik dan pandangan pelbagai saya terima baik teguran. Di satu sisi lain, KDN juga harus dilihat peka dan sensitif terhadap aduan awam.

“Jadi, kita kena cari jalan seimbang di situ,” katanya.

Saifuddin berkata demikian mengulas insiden terbaharu membabitkan pegawai KDN dan toko buku bebas, Gerak Budaya.

Pada Khamis lalu, penguat kuasa KDN merampas lapan buku berbahasa Cina dari toko buku berkenaan yang berkaitan pemberontakan komunis di Tanah Melayu.

Lima daripada buku itu merupakan siri sejarah pemberontakan komunis di Tanah Melayu, dan dua lagi ialah buku memoir ahli Parti Komunis Malaya (PKM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast