Trak yang membawa bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.

KAHERAH – Lanjutan gencatan senjata selama dua hari disifatkan sebagai tidak mencukupi bagi membolehkan trak bantuan memasuki Gaza.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, tempoh tersebut hanya ‘sekilas harapan dan kemanusiaan’ dalam memenuhi keperluan penduduk di Gaza.

“Saya amat berharap lanjutan ini diteruskan lagi bagi membolehkan kita meningkatkan lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza yang (sedang) menderita.

“Namun, mustahil kita dapat memenuhi semua keperluan penduduk dalam tempoh hanya dua hari ini,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyokong pemberhentian perang yang amat diperlukan dalam konflik di Gaza untuk diteruskan.

Katanya, tempoh empah hari gencatan senjata telah memberi kedamaian seketika kepada bumi Gaza dari bingitnya bunyi serangan.

Melalui perkongsian di platform sosial X, beliau berkata, tempoh itu telah memberi peluang kepada berjuta-juta kanak-kanak dan penduduk dewasa mendongak ke langit tanpa rasa takut roket akan menghentam mereka.

“Ia membolehkan sejumlah bekalan perubatan, bahan api dan makanan yang terhad dihantar ke kawasan itu, namun jumlah yang diperlukan jauh lebih banyak.

“Pekerja kesihatan daripada WHO dan yang lain kini dapat merawat mereka yang sakit, cedera serta ketakutan. Banyak lagi bantuan diperlukan,” katanya dalam hantaran itu.

Tambah Tedros, persetujuan yang dicapai itu menyediakan ruang untuk menilai keperluan besar di hospital dan kaedah mempertingkatkan segera stok bekalan perubatan dan banyak keperluan lain.

Banyak penduduk Gaza mengambil kesempatan tempoh jeda empat hari pulang ke kawasan kediaman walaupun kini hanya tinggal runtuhan.

Sementara itu, ramai yang beratur mendapatkan tepung dan bantuan penting lain yang dihantar Agensi Pelarian Palestin PBB (UNRWA). – Agensi