Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Polis menahan enam lelaki kerana merusuh tanpa senjata dalam kejadian di hadapan sebuah hotel di Jalan Padang Temusu, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku kerana seorang lelaki yang menjadi mangsa pukul berusia 42 tahun, dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isteri salah seorang lelaki yang ditahan berusia 33 tahun.

“Kira-kira pukul 1 tengah hari semalam, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan dia ternampak sekumpulan lelaki memukul seorang lelaki, di hadapan sebuah hotel di Padang Temusu.

“Polis menahan semua lelaki yang terlibat termasuk seorang lelaki yang dipukul yang mengalami kecederaan luka ringan di bahagian kepala, muka, dan paha kiri. Tiada sebarang senjata digunakan dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zaidy berkata, ujian saringan air kencing ke atas kesemua yang ditahan mendapati, mangsa serta dua lagi suspek masing-masing berusia 16 dan 33 tahun, positif dadah.

Tambah beliau, semakan juga mendapati selain remaja terbabit, semua yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Lima daripada enam yang ditahan direman empat hari bermula hari ini sehingga 1 Dis, manakala remaja berusia 16 tahun yang terlibat direman sehari,” katanya yang turut menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast