MERSING – Seorang pelajar berusia 15 tahun maut akibat dilanggar sebuah pacuan empat roda ketika melintas jalan semalam.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Polis Abdul Razak Abdullah Sani berkata, dalam kejadian jam 3.45 petang, mangsa dikenali Syuhada Zafirah Samin dilanggar Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki di Jalan Penyabong Endau.
“Pihak kami (polis) telah terima satu panggilan daripada orang awam mengenai kes kejadian.
“Hasil siasatan Toyota Hilux berkenaan dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun dari Penyabong hendak menuju ke Endau dan ketika pemandu tersebut bergerak lurus secara tiba-tiba seorang pejalan kaki (mangsa) telah melintas jalan secara tiba-tiba.
“Tindakan itu menyebabkan pemandu pacuan empat roda berkenaan tidak sempat mengelak dan melanggar pejalan kaki tersebut,” katanya sambil menambah mangsa dipercayai baru pulang dari sekolah dengan menaiki bas.
Akibat kejadian itu mangsa telah dikejarkan ke Hospital Mersing untuk rawatan selanjutnya, namun disahkan meninggal dunia 10.24 malam tadi.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan jenazah pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin itu selamat dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teriang Endau, pagi tadi.-MalaysiaGazette