Paras laut normal di Terminal Penumpang South Port ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Klang. Foto MUHD NA’IM,28 NOVEMBER 2023.

KLANG – Tiada tanda-tanda berlakunya fenomena air pasang besar di sekitar Pelabuhan Klang, di sini, meskipun amaran awal telah dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang baru-baru ini.

Fenomena air pasang dijangka bermula 25 November sehingga 1 Disember ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Penumpang Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang, petang ini mendapati, paras air laut masih lagi normal dan orang ramai menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Keadaan semasa Terminal Penumpang South Port masih tidak dinaiki air susulan fenomena air pasang besar yang bermula semalam sehingga 1 Disember ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Penumpang South Port, Klang. Foto MUHD NA’IM,28 NOVEMBER 2023.

Orang ramai masih berurusan di terminal itu seperti biasa khususnya mereka yang mahu mengunjungi Pulau Ketam dengan menaiki bot mahupun feri di situ.

Namun, ketika tinjauan dilakukan petang tadi, kelihatan langit mendung dan kemudian disusuli dengan hujan lebat dalam jangka masa yang singkat.

Semalam, Pejabat Daerah dan Tanah Klang memaklumkan, bacaan paras air laut di daerah itu dijangka meningkat setinggi 5.2 meter hari ini dan 5.1 meter bermula hari ini dan berkemungkinan membawa kepada risiko banjir.

Keadaan Terminal Penumpang South Port yang tenang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Penumpang South Port, Klang. Foto MUHD NA’IM,28 NOVEMBER 2023.

Berdasarkan info grafik yang dikongsi menerusi Facebook, bacaan paras air laut dijangka setinggi 5.1 meter bermula jam 6.09 pagi, hari ini.

Pada 29 November tahun lalu, bacaan paras air laut adalah 5 meter pukul 6.45 pagi manakala, pada 30 November, paras air laut dijangka setinggi 4.8 meter pukul 7.17 pagi, dan 1 Disember setinggi 4.6 meter pukul 7.47 pagi. – MalaysiaGazette