Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibawa Kementerian Kesihatan (KKM) lulus di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU yang dibentangkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa diluluskan secara sebulat suara selepas 27 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan selama dua hari.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas bacaan kali kedua rang undang-undang berkenaan oleh Zaliha.

RUU ini terlebih dahulu mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan Ahli Parlimen, tetapi pelbagai lapisan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan pelajar.

Ia kerana, peruntukan larangan merokok terhadap generasi penamat (GEG) digugurkan daripada RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 selepas mendapat nasihat dari Peguam Negara.

Dr Zaliha sebelum ini dilaporkan berkata, berdasarkan pandangan Peguam Negara, pihaknya tidak boleh meneruskan pembentangan di Parlimen jika terdapat kekurangan dan kelemahan terhadap RUU tersebut.

Disebabkan itu, katanya, pihak kementerian membuat keputusan untuk mengutamakan kawalan merokok terlebih dahulu sebelum memikirkan soal generasi penamat.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kegagalan bacaan kali kedua RUU GEG dibentangkan di Dewan Rakyat amat menyedihkannya, yang sebelum ini berusaha mencari jalan bagi mengawal penjualan tembakau dan vape.

Khairy mendakwa, ia berpunca akibat tindakan industri tembakau dan vape melobi Peguam Negara, menggunakan hujah RUU GEG bertentangan dengan Perlembagaan.

RUU berkenaan yang dibentang pada Selasa, Fasal 13 (1) dan 13 (3) menyatakan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada orang belum dewasa.

Fasal 17 (1) pula menyatakan larangan merokok, mengunyah dan menggunakan produk tembakau kepada orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast