Rusli Jaafar merasmikan cawangan CBP ke-31 di Miri Sarawak.

KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) dalam perancangan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 36 buah cawangan di seluruh negara menjelang tahun 2026, selari dengan rancangannya untuk memperkenalkan beberapa produk dan model perniagaan baharu bagi memenuhi keperluan anggota serta pelanggan.

Terbaharu, CBP membuka cawangan yang ke-31 di Miri, Sarawak, juga cawangan kedua selepas Kuching.

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, bank itu akan membuka cawangan ketiga Sarawak di Matang Jaya pada suku pertama tahun 2024.

“Selain Sarawak, CBP juga turut mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan di Sandakan dan Papar, Sabah serta Jerteh, Terengganu pada suku pertama tahun 2024,” katanya pada pembukaan bank itu di Miri yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Rusli Jaafar.

Katanya, CBP berharap dengan pertambahan cawangan di Sabah dan Sarawak, penduduk setempat dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan selain anggota dan pelanggan sedia ada dapat menjalankan urusan dengan mudah. – MalaysiaGazette