KUALA LUMPUR – Menjelang hari perkahwinannya yang dijangka akan berlangsung hari ini, penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari dilihat telah mengubah nama di akaun Instagram miliknya.
Jika sebelum ini dia meletakkan nama @bclsinclair gabungan nama bekas suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair, kini akaunnya diubah kepada @itsmebcl.
Bunga atau lebih dikenali dengan panggilan BCL baru-baru ini dikhabarkan akan kembali bergelar isteri selepas memilih Tiko Aryawardhana sebagai pasangannya.
Pasangan tersebut kerap digosipkan mempunyai hubungan istimewa akan melangsungkan perkahwinan mereka di Bali.
BCL pernah mendirikan rumah tangga dengan Ashraf pada tahun 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Noah.
Perkahwinan mereka bertahan selama 12 tahun apabila Ashraf disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada tahun 2020.-MalaysiaGazette