KUALA LUMPUR – Tindakan pantas seorang doktor Malaysia memberikan rawatan kecemasan kepada seorang warga emas dalam pesawat berjaya menyelamatkan nyawa penumpang tersebut.
Insiden luar jangkaan itu dilaporkan telah berlaku pada malam 1 Disember lalu.
Doktor perubatan itu adalah Dr Sathia Prakash Nadarajan dari Rawang yang berkongsi detik cemas itu di dalam ruang media sosialnya.
Mengikut status Facebook, Dr Sathia menaiki penerbangan ke Tamil Nadu, India dengan Pesawat Air Asia jenis AK 13 yang menuju ke Chennai, Tamil Nadu.
Katanya, seorang wanita warga emas berusia 80 tahun yang meneruskan perjalanan dari Jepun menerusi Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung di Bangalore, India tiba-tiba mengalami situasi kecemasan apabila badannya berpeluh sebelum pengsan.
Insiden berlaku lebih kurang sejam 30 minit sebelum pesawat mahu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, Tamil Nadu.
“Pada malam 1 Disember lalu, semasa saya berada dalam pesawat penerbangan ke Chennai dari Kuala Lumpur satu insiden kecemasan di luar jangkaan terjadi di dalam pesawat.
“Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun tiba-tiba mengalami simptom berpeluh dan pengsan. Agak bernasib baik kerana ketika itu saya satu-satunya pegawai perubatan yang berada dalam pesawat itu.
“Saya mempunyai tabiat membawa statoskop bersama ke mana jua saya pergi dan ia dapat membantu saya memberikan rawatan kecemasan yang termampu sebagai tindakan awal,” katanya dalam status FB tersebut.
Beliau dalam status sama meminta semua syarikat penerbangan agar menyediakan set peralatan pemeriksaan tekanan darah, stetoskop, pulse oximeter iaitu peranti perubatan untuk mengukur kadar oksigen di dalam badan serta dan kit peralatan kecemasan asas di dalam setiap pesawat untuk memudahkan sebarang urusan kecemasan kepada penumpang.
Semasa kejadian, Dr Sathia sedang meneruskan perjalanan ke Tamil Nadu sebagai Tetamu Kehormat menghadiri Penganugerahan dan Pengiktirafan Pengamal Media Antarabangsa yang di Tamil Nadu sebelum berdepan situasi kecemasan tersebut.
Justeru, beberapa orang pengamal media dari Malaysia antaranya Pavalam, seorang jurugambar yang kebetulan berada dalam pesawat yang sama telah mengambil gambar detik cemas penumpang yang diberikan rawatan kecemasan oleh Dr Sathia yang tular dan mendapat pujian netizen.
Tindakan pantas Dr Sathia menjalankan amanah sebagai seorang pegawai perubatan menerima pujian seluruh penumpang yang berada di dalam pesawat itu ketika kejadian sambil mengharapkan keadaan wanita itu sihat kembali sejurus dirujuk ke hospital selepas mendarat di lapangan terbang.
Terdapat seorang netizen yang sedang meneruskan perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampungnya di Chennai Navin Kumar memuji rawatan kecemasan pantas doktor dari Malaysia itu sambil menyatakan penghargaannya.
Seorang lagi netizen dari Malaysia Saifuddin Shafi turut berkongsi penghargaannya dengan menulis; “Doktor yang sentiasa berkhidmat di mana sahaja dan dalam apa keadaan pun. Semoga pesakit diberikan kesembuhan’.- MalaysiaGazette