Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan memberi amaran supaya penerima eMADANI tidak melakukan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.

Menurutnya, Kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMADANI.

“Program eMADANI diluncurkan bertujuan untuk menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.

“Oleh itu, kredit eMADANI tidak boleh digunakan antaranya bagipemindahan ‘peer-topeer’ atau penebusan tunai,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Kewangan menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai atau pemindahan ‘peer-topeer’ kredit eMADANI oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.

Ini bagi mengelakkan penerima manfaat eMADANI daripada menjadi mangsa penipuan ‘scam’ dan sekali gus hilang kredit.

“MOF tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai,” jelasnya.

eMADANI hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal
melalui e-dompet yang terlibat iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit atau perniagaan di seluruh negara.

Program eMADANI merupakan satu inisiatif Kerajaan yang telah diumumkan di bawah kerangka ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’.

Program ini adalah kesinambungan kepada kejayaan program e-dompet Kerajaan sebelum ini dan mempunyai objektif tiga serampang untuk memangkin pendapatan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS), menggalakkan pembayaran tanpa tunai dan memanfaatkan rakyat.

Program ini dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat Malaysia*, melalui tawaran kredit eMADANI bernilai RM100 yang boleh digunakan bagi pembelian secara fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih.

Pada masa yang sama, penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian akan turut menawarkan inisiatif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai, diskaun, mata ganjaran dan ‘coins’.

Pendaftaran program eMADANI dibuka mulai hari ini sehingga 20 Februari 2024 dan akan memanfaatkan seramai 10 juta rakyat dewasa yang layak, meliputi golongan B40 dan M40.

Untuk maklumat lanjut mengenai program eMADANI, layari
https://manfaat.mof.gov.my/individu/eMADANI .-MalaysiaGazette