Tertuduh warga tempatan, Datuk Loong Chan Yow (depan) bersama empat lagi tertuduh dihadapkan ke mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah hari ini.

JOHOR BAHRU – Lima lelaki termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ didakwa dengan tiga pertuduhan mengedar dadah di sebuah premis di Jalan Sagai, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, hari ini.

Ketiga-tiga tertuduh warga tempatan, Datuk Loong Chan Yow dan Wong Fook Loy masing-masing berusia 46 tahun dan Chai Choon Foo, 54, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, R. Salina.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan

Manakala pertuduhan bagi  dua lagi suspek warga Myanmar, iaitu Win Min Hliang, 30, dan Kaung Myat Phyoe, 26, akan dibacakan pada sebutan semula kes pada 23 Januari depan setelah jurubahasa dipanggil ke mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kasar 23.1kg dan pil MDMA dengan anggaran berat kasar 368 gram.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11 pagi di premis di Jalan Sagai, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang pada 27 November lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39b(1)(a) Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 kali sebatan, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd. Hamizi Mohd. Yusof.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Januari depan bagi serahan laporan kimia dan memanggil jurubahasa untuk tertuduh warga Myanmar.

Rabu lalu, media melaporkan satu sindiket memproses dan mengedar dadah yang didalangi seorang individu bergelar ‘Datuk’ terbongkar setelah sebuah kilang di kawasan perindustrian di Taman Pasir Putih diserbu Pasukan Gerakan Am Batalion 5 Simpang Renggam.

Serbuan yang dilakukan bagi mematahkan kegiatan menyeludup arak itu menemukan makmal dadah bagi memproses dadah untuk diedarkan ke pasaran tempatan.- MalaysiaGazette