Lim Hui Ying.

GEORGE TOWN – Pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah pendidikan khas di Kepala Batas, di sini, yang dipercayai mencabul 14 rakannya berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) sudah digantung sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, kesemua mangsa yang terlibat turut diberikan khidmat bimbingan dan kaunseling memandangkan mereka merupakan pelajar berkeperluan khas.

Jelas beliau, pada masa yang sama, rondaan ketat turut dilakukan pihak berkaitan di kawasan sekolah dan asrama bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Kita akan ikut semua garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu sebegini dan pada masa yang sama, kesemua mangsa sudah diberi khidmat bimbingan kaunseling.

“Kaunseling amat mustahak kerana semua pelajar itu adalah berkeperluan khas, jadi mereka perlukan lebih perhatian.

“Kita juga sudah mengambil kaunselor dari sekolah lain bagi bantu dan bimbing mangsa sementara menunggu siasatan penuh daripada PDRM,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, Hui Ying merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2023/2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Xavier, Lebuh Farquhar, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Wan Sajiri Wan Hassan.

Tambah Hui Ying,  adalah menjadi keutamaan KPM untuk memastikan kesemua mangsa yang terlibat dijaga dari segi mental dan fizikal.

ARTIKEL BERKAITAN

Pelajar cabul 14 rakan dibebaskan dengan jaminan polis

MalaysiaGazette hari ini melaporkan polis telah selesai merakam keterangan 12 pelajar berstatus OKU yang menjadi mangsa cabul rakan di asrama sebuah sekolah menengah di sini pada 1 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

Kata beliau, berdasarkan keterangan mangsa, kejadian itu dilaporkan berlaku pada Oktober lalu. – MalaysiaGazette