Foto media sosial.

KUALA LUMPUR – Dua video yang tular di media sosial yang melibatkan hampir 30 buah kereta peronda polis terlibat dalam aksi mengejar sebuah Perodua Bezza dari Petaling Jaya ke Cyberjaya.

Salah satu video menunjukkan sebuah kereta berwarna gelap meluncur laju di sepanjang jalan dengan sekurang-kurangnya lapan kereta peronda mengejarnya.

Satu lagi klip dipercayai dirakam dari bangunan tinggi menunjukkan kereta yang sama dikejar beberapa buah lagi kenderaan polis.

Difahamkan, kereta itu dipandu seorang wanita bersama tiga lelaki ketika polis menghampiri kenderaan suspek di Petaling Jaya.

Suspek memecut laju sebaik menyedari polis mengekori mereka.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan kejadian itu sambil menambah suspek sudah ditahan.

“Kami akan mengeluarkan kenyataan akhbar tidak lama lagi mengenai kejadian itu,” tambahnya.

Terdahulu, video aksi mengejar itu meraih perhatian ramai netizen sehingga ia disamakan dengan babak dalam filem aksi.

Sementara itu, netizen turut berseloroh dengan memuji kelajuan kereta Bezza yang dipandu suspek dan turut menggelarkannya sebagai king of the road baharu bagi menggantikan Perodua Myvi.

“Myvi dah boleh turun takhta. Tak sepadu Bezza. Bezza dah potong Myvi sekarang.

“Bezza mahu dinobatkan sebagai king yang baharu,” tulis netizen berseloroh. – MalaysiaGazette