Foto media sosial MFL.

KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pengumuman terbaru di media sosial MFL itu sekali gus mengesahkan venue itu selepas terdapat ura-ura mengatakan SNBJ tidak sempat bersedia untuk aksi final Jumaat malam ini.

Spekulasi timbul selepas perkongsian terbaharu pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai keadaan terkini permukaan padang di gelanggang keramat Harimau Malaya itu di laman media sosial miliknya, semalam

Berdasarkan gambar yang dikongsikan Tunku Ismail di laman Twitter miliknya, keadaan padang yang rosak selepas konsert Coldplay bulan lalu masih belum pulih sepenuhnya.

Keadaan itu menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat apabila hanya berbaki empat hari sahaja lagi sebelum final Piala Malaysia berlangsung.

Pada 24 November lalu, media melaporkan padang SNBJ rosak angkara konsert Coldplay selepas TMJ memuat naik gambar keadaan permukaan padang stadium terbabit di laman Instagram miliknya.

Susulan daripada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi dilaporkan berkata, pihaknya akan melakukan kerja membaik pulih dengan kadar segera untuk digunakan bagi final Piala Malaysia.

Padang baharu SNBJ yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia adalah tajaan daripada TMJ dan ia digunakan secara rasmi pada Pestabola Merdeka 2023, pada Oktober lalu. – MalaysiaGazette