GAZA CITY – Israel terus ‘menyembelih’ penduduk Gaza dengan lebih 100 lagi terbunuh di sekitar Hospital Kamal Adwan.
Menurut Al Jazeera, tentera zionis telah mengepung hospital berkenaan dan melakukan serangan di sekitar pusat perubatan tersebut.
Rakaman daripada Hospital Kamal Adwan menunjukkan mayat yang dibedung putih, berbaris di halaman perkarangan perubatan.
Saksi berkata, sesiapa yang cuba untuk melarikan diri daripada hospital tersebut akan ditembak oleh penembak tepat Israel.
“Pasukan pendudukan Israel telah mengepung hospital dari semua sudut. Kami menjadi sasaran tembakan dan peluru meriam,” kata Munir al-Bursh, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan di Gaza, bercakap dari dalam Hopsital Kamal Adwan.
Munir melahirkan kebimbangan pembunuhan beramai-ramai akan berlaku di Hospital Kamal Adwan seperti yang berlaku di beberapa hospital di Gaza.
Situasi di Hospital Kamal Adwan mengulangi peristiwa yang berlaku di Hospital al-Shifa, di mana orang ramai yang mencari perlindungan, pesakit dalam keadaan kritikal dan doktor diarah untuk berpindah selepas beberapa hari dikepung Israel.
“Hospital itu diserang oleh tentera Israel dengan tujuan untuk mengusir semua yang berada di dalam hospital,” kata al-Bursh.
“Kami, kakitangan perubatan, berpegang pada pendirian kami. Kami berdiri di sebelah pesakit kami yang cedera.” – Agensi