PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dapat memberi kelegaan kepada sistem demokrasi di negara ini.
Perdana Menteri berkata, ini kerana Menteri Besar Terengganu memiliki imej yang sederhana berbanding pemimpin Pas lain yang lebih ekstrem.
Menurutnya, kejayaan Naib Presiden Pas itu juga diharap dapat menurunkan suhu politik yang tinggi sepanjang kempen PRK berlangsung.
“Saya ucap tahniah kepada Dr Samsuri dan mudah-mudahan dapat menjalan tugas dengan baik.
“Dari segi negara, ia sekurang-kurangnya memberi kelegaaan dari segi negara kerana imej yang sederhana daripada sikap kepimpinan Pas yang nampak jauh lebih ekstrem.
“Mudah-mudahan dapat meredakan suhu politik yang terlalu panas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sabtu lalu, Ahmad Samsuri menewaskan pencabarnya dari Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerusi pertembungan satu lawan satu.
Calon Perikatan Nasional (PN) itu memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia mewakili UMNO mendapat 27,778 undi. – MalaysiaGazette