Polis sedang memburu dua suspek lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita disimen di bilik air dalam rumah di Kampung Pedamar Klang dekat sini semalam.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua suspek lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita disimen di bilik air dalam rumah di Kampung Pedamar Klang dekat sini semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada Ahad jam lebih kurang 10.58 malam, Balai Polis Pandamaran telah menerima satu laporan dari seorang warga tempatan mengatakan telah menerima maklumat daripada lelaki warga asing bahawa terdapat mayat di dalam kolah mandi bilik air di rumah pengadu yang telah disewakan.

Katanya, hasil siasatan mendapati pengadu warga emas berusia 66 tahun itu pernah menyewakan rumahnya di Kampung Pendamar itu kepada dua lelaki warga asing selama dua tahun bermula Ogos 2019 sehingga Oktober 2021 lalu.

“Sebelum menyewakan rumah itu kepada orang lain, pengadu berkenaan telah membuat pemeriksaan di kolah mandi di dalam bilik air rumah tersebut dan mendapati kolah mandi berkenaan telah disimen.

“Penyewa warga asing selepas disoal pengadu telah memberikan alasan bahawa air dari bangkai tikus telah mengalir masuk ke dalam kolah mandi tersebut,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Tambah Hussein, tanpa mengesyaki apa-apa, pengadu seterusnya telah menyewakan rumah itu kepada penyewa lain.

Katanya, pada bulan November 2023, pengadu telah meminta seorang lelaki warga asing untuk membaiki bumbung rumah tersebut.

“Semasa membayar gaji kerja pembaikan, lelaki asing itu memberitahu pengadu terdapat mayat dalam kolah mandi dalam bilik air rumah tersebut.

“Maklumat itu diterima daripada seorang lelaki warga asing yang sudah balik ke negara asalnya. Bagi mengesahkan maklumat ini, pengadu terus membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Pihaknya bertindak atas aduan itu telah bersama pasukan Bomba dan Penyelamat serta Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor telah menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Setelah simen di kolah itu dipecahkan sepenuhnya anggota bomba berjaya menjumpai mayat seorang wanita dewasa.

Mayat telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat yang akan dijalankan hari ini untuk mendapatkan punca kematian.

“Bahagian siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Bagi membantu siasatan, seorang lelaki warga asing berumur 53 tahun telah ditangkap dan akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Klang semalam.

“Polis juga telah mengenal pasti dua lelaki warga asing yang menyewa di rumah tersebut antara tempoh 2019 hingga 2021 yang disyaki terlibat dam kes itu.

“Polis dalam tindakan untuk mengesan kedua-kedua suspek tersebut yang bernama Ranjit Singh dan Mandeep Singh dan usaha telah dipergiatkan menjejaki mereka,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menyalurkan maklumat kepada IPD Klang Selatan di talian 03- 33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Orang ramai juga dilarang menularkan mana mana gambar berkaitan kejadian ini dalam media sosial hingga mendatangkan kegusaran awam. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mayat wanita ditemui ditanam dalam bilik air