Mayat ditemui ditanam dalam simen di bilik air sebuah rumah di Kampung Pedamar, Klang semalam.

KUALA LUMPUR – Mayat disyaki wanita ditemui ditanam dengan menggunakan simen di bilik air di sebuah rumah di Kampung Pendamar, Klang, Selangor, semalam.

Difahamkan kediaman terbabit disewa dua lelaki warga asing yang memaklumkan kepada pemilik kediaman bahawa mahu berpindah pada Oktober lalu.

Sumber memberitahu, selepas penyewanya berpindah, pemilik rumah berusia 66 tahun itu membuat pemeriksaan sebelum penyewa baru masuk.

“Bagaimanapun lelaki terbabit menyedari terdapat tambahan simen dibuat di dalam bilik air rumahnya dan bertanya mengenainya kepada penyewa lama, namun mesejnya tidak dibalas oleh mereka.

“Selepas itu barulah mereka memaklumkan balik kepada pemilik rumah terbabit kononnya terdapat bangkai tikus mengalir masuk ke dalam kolah mandi itu menyebabkan mereka terpaksa menambah simen,” katanya.

Sumber berkata, pemilik rumah yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian mengupah pekerja warga asing untuk membaiki kediaman tersebut untuk disewa kepada orang lain.

“Ketika kerja membaiki rumah dilakukan, mayat mangsa ditemui di dalam simen terbabit dan pemilik rumah tampil membuat laporan di Balai Polis Pandamaran pada semalam.

“Bertindak atas laporan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan meminta bantuan bomba untuk memecahkan simen terbabit untuk mengeluarkan mayat dipercayai wanita,” ujarnya.

Sementara itu, difahamkan polis telah menahan seorang lelaki warga asing untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu.-MalaysiaGazette