PETALING JAYA – Penyanyi, Kaka Azraff menuntut Warner Music Malaysia memberi penjelasan secara rasmi mengenai sebab penamatan kontraknya yang berkuatkuasa 31 Disember ini.

Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 34, berkata, beliau berhak untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak rakaman tersebut.

Tambah pelantun lagu Gila itu, tidak ada ruang perbincangan diberikan oleh pihak rakaman itu sebelum keputusan menamatkan kontraknya dibuat secara tiba-tiba.

“Kaka berhak mendapatkan sebab yang rasmi kenapa diberhentikan kontrak bersama Warner Music. Kaka tidak terkilan cuma Kaka terkilan caranya yang tiba-tiba dan tidak beri ruang berbincang,” katanya pada sidang media.

Turut hadir, suaminya Adam Azriff dan peguam, Aidil Khalid.

Terdahulu Kaka berkata, pada 30 November lalu beliau bertemu dengan pihak Warner Music untuk memintanya mendatangani surat penamatan kontrak.

Kaka dimaklumkan keputusan tersebut dibuat kerana beliau didakwa bertindak bercanggah dengan polisi global syarikat rakaman tersebut.

“Tapi Kaka tidak tanda tangan sebab kita rasa ia berat sebelah,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Kaka mempertahankan tindakannya sebelum ini yang mengirim mesej langsung (DM) mengecam pempengaruh dan pelakon Australia yang pro-Israel, Nathaniel Buzolic.

Jelasnya, ia merupakan solidariti terhadap penduduk di Gaza yang diberhadapan dengan kekejaman rejim Zionis namun disifatkan oleh Nathaniel sebagai ‘memilih kematian’.

Namun beliau mengaku menggunakan perkataan yang tidak sesuai kerana emosi dan marah terhadap kenyataan pempengaruh itu.

Pada masa sama, Kaka menegaskan, beliau bukan anti perkauman atau anti semitik seperti yang didakwa.

“Dia kata macam di Israel memilih kehidupan tetapi mereka di Gaza memilih kematian. Kaka sebagai Muslim, wanita dan ibu rasa perkara itu sangat kejam untuk diperkatakan sebab orang di Palestin tidak  memilih untuk mati tapi Israel menjajah Palestin. Jadi untuk Kaka rasa tidak salah untuk meluahkan perasaan Kaka itu.

“Kaka rasa berdiam diri bukan jalannya, untuk walaupun ruang sekecil itu Kaka berhak bersuara berkenaan ketidakadilan yang  mereka lakukan kepada saudara mara kita di Gaza,” katanya.

Tambah Kaka, beliau akan terus menggunakan pengaruhnya bersolidariti dengan Palestin dan menganggap apa yang dihadapinya pada waktu ini sebagai jihad kecil yang perlu dihadapi bagi mempertahankan penduduk Palestin.

Terdahulu, peguamnya, Aidil Khalid memberitahu, notis tuntutan penjelasan telah diserahkan kepada Warner Music sejurus selepas surat penamatan diberikan kepada penyanyi tersebut.

“Tidak ada tempoh sebab notis penamatan berkuat kuasa 31 Disember, selepas itu baru kita akan fikir tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast