Foto Instagram Marissa Nazir.

KUALA LUMPUR – Anak kepada tokoh korporat, Datuk Seri Nazir Razak, Marissa meluahkan rasa kurang senang terhadap perkahwinan baharu bapanya yang dianggap sangat bermewah-mewah sedangkan baru dua bulan sahaja bercerai dengan ibunya.

Menerusi hantaran di Instagram, Marissa kecewa apa yang dilakukan atas bapanya terhadap ibunya sepanjang berrumahtangga itu selama 30 tahun

“Kami amat sakit hati melihat ibu kami diperlakukan dengan tidak berperasaan dan diabaikan. Saya fikir perkahwinan kedua selalunya terjadi dalam keadaan yang tenang dan bijaksana dan pula hanya dua bulan sejak perceraian ibu bapa saya disahkan secara rasmi di mahkamah.

“Sebaliknya ayah saya mengadakan majlis perkahwinan yang besar dan berprofil tinggi yang tidak mengambil kira perasaan anak-anaknya atau ibu kami, isterinya selama 30 tahun,” tulisnya panjang lebar.

Sebelum ini, Nazir yang juga  adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu mengumumkan bahawa dia telah bernikah dengan kekasih pilihannya, Puan Sri Yati Zainuddin pada 17 November lalu.

Instagram Marissa Nazir.

 

Namun Marissa mendakwa sebagai anak langsung tidak mengetahui tentang majlis perkahwinan bapanya.

“Tiada seorang pun daripada kami dimaklumkan tentang perkahwinan itu. Kami mengetahuinya daripada tetamu jemputan dan media sosial.

“Saya juga terkejut melihat kiriman Instagram ayah saya yang menyakitkan hati dan tidak sedar diri berkata ‘saya berkahwin hari ini!’, berseloroh seperti mengumumkan bahawa dia baru sahaja membeli set kayu golf baharu,” katanya.

Marissa mendakwa Nazir tidak sensitif serta mendakwa wujud kecurangan semasa ibunya masih sakit pada 2020 hingga 2021.

Marissa juga mempersoalkan tempoh keputusan yang diambil untuk berkahwin dengan wanita yang pernah menjadi kawan ibunya hanya selepas dua bulan perceraian disahkan di mahkamah.

Anak perempuannya itu melahirkan rasa terkejut dengan kemewahan majlis tersebut yang dihadiri ratusan tetamu termasuk kumpulan yang pernah memenangi anugerah Grammy yang diterbangkan dari luar negara.

“Mereka yang menghadiri majlis perkahwinan, ramai antara anda mengenali ibu saya dan mungkin menerima layanannya pada masa lalu, harap maklum bahawa anda sedang meraikan penyatuan yang disebabkan oleh perselingkuhan dan penipuan.

“Ibu sangat sakit semasa wabak pada 2020-2021 dan tidak dapat melakukan apa-apa. Semasa saya dan abang saya bergilir-gilir untuk menjaganya, ayah saya meneruskan hubungan sulit dengan wanita itu,” dakwanya.

Selain itu, Marissa juga mempersoal artikel ‘Nilai Keluarga’ yang pernah ditulis oleh ayahnya di dalam buku biografinya, What’s In A Name.

“Ayah saya menulis satu bab tentang ‘Nilai Keluarga’ dalam biografinya tetapi sebenarnya semua yang saya dan abang saya pelajari tentang nilai keluarga adalah daripada ibu kami – kejujuran, integriti, kesetiaan dan kasih sayang,” katanya. – MalaysiaGazette