Kredit : Fb CyberSecurity Malaysia

KUALA LUMPUR – CyberSecurity Malaysia hari ini mengeluarkan amaran berhubung aktiviti penyamaran melalui akaun WhatsApp dengan menipu mangsa untuk memindahkan wang.

CyberSecurity Malaysia dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan terdapat aktiviti penipuan menggunakan aplikasi itu dengan pelaku menyamar sebagai individu dikenali mangsa sebelum menghantar satu pautan dan meminta mangsa untuk klik pada pautan berkenaan.

Menurutnya mangsa kemudian kehilangan akses ke akaun WhatsApp sendiri.

“Penipu akan mengambil alih akaun WhatsApp yang diceroboh dan menggunakan identiti mangsa untuk melakukan penipuan. Penipu akan menyamar sebagai mangsa dengan menghantar mesej kepada kenalan-kenalan mangsa melalui akaun WhatsApp berkenaan,” menurut kenyataan itu.

CyberSecurity Malaysia berkata penipu menggunakan teknik melibatkan kandungan teks yang mendakwa mangsa berada dalam situasi bahaya dan memerlukan bantuan atau pinjaman kewangan bagi membantunya keluar dari krisis atau kes kecemasan serta berjanji akan membuat pembayaran balik.

Dalam situasi ini, kenalan mangsa akan terpedaya dan mempercayai mesej itu dihantar oleh rakan mereka yang memerlukan wang.

“Nasihat kami agar orang ramai tidak klik pada sebarang pautan yang diterima melalui WhatsApp. Jangan buat sebarang pemindahan wang sebelum mendapat kepastian dan pengesahan kenalan,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan di https://www.mycert.org.my/portal/details. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast