Hew Kuan Yew

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kerajaan untuk membayar RM51,465 kepada bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau selepas keputusan pengharaman buku komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ pada 2019.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet membuat ketetapan itu selepas 13 buah buku komik tersebut dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika itu.

Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan Kuan Yau yang juga dikenali dengan panggilan ‘Superman Hew’ itu memohon RM1.05 juta bagi ganti rugi berikutan pengharaman komik miliknya.

Untuk makluman, komik ditulis oleh Kuan Yau itu telah diterbitkan oleh Muzium Budaya Komik Asia dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina. Larangan kementerian merangkumi kesemua tiga versi bahasa.

Ia didakwa sebahagian besarmempromosi China dan “Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI)” sambil meletakkan dunia Barat dalam aspek negatif.

Selain itu, KDN mendakwa ada bahagian kontroversi yang terdapat dalam komik berkenaan dengan menyifatkan orang Melayu yang bersimpati dengan etnik Uighurs di China yang dikatakan dimasukkan ke dalam “kem pendidikan semula” oleh Beijing sebagai “radikal”.

Sebelum ini juga Kuan Yau selaku pemohon pada 26 November 2019, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan dinamakan masing-masing sebagai responden pertama hingga keempat.

Kuan Yau membuat permohonan semakan kehakiman itu selepas kerajaan mengharamkan buku komiknya kerana didakwa mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.

Dalam satu kenyataan media pada 23 Oktober 2019, KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Seksyen 7 (1) menjelaskan KDN boleh melarang apa-apa penerbitan jika pihak berpuas hati bahawa terdapat bahan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, gugat keselamatan moral, kepentingan awam, kepentingan negara atau kemungkinan untuk mengelirukan pendapat awam.

Menurut KDN, kandungan penerbitan, antara lain, cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta-fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunisme dan mengandungi unsur-unsur yang menggalakkan sokongan dan simpati untuk perjuangan komunis. -MalaysiaGazette