Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin.

KUALA LUMPUR – Polis membuat persiapan rapi dalam mengatur penugasan kawalan keselamatan sepanjang Program Setahun Bersama Kerajaan Madani berlangsung di Tempat Letak Kereta A dan B, Stadium Nasional Bukit Jalil yang bermula esok.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijangka akan merasmikan penutupan pada Ahad depan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan pegawai dan anggota polis yang bertugas serta menjaga keselamatan diri juga barangan peribadi semasa berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai.

“Tidak meninggalkan barangan berharga dalam kenderaan dan memastikan kenderaan ditinggalkan dalam keadaan berkunci,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zam Halim turut menyarankan orang ramai yang ingin menghadiri program berkenaan menggunakan pengangkutan awam.

“Amalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak ansur ketika sedang memandu sekitar stadium, tidak dibenarkan sama sekali meletakkan kenderaan di bahu jalan, tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas,” tegasnya.

Terdahulu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Program Setahun Bersama Kerajaan Madani akan menjadi platform terbaik untuk rakyat menyaksikan dan memahami segala pelaksanaan dasar, inisiatif serta pencapaian Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh setahun pentadbiran.

Jelasnya, program itu bakal menawarkan informasi terbabit secara terus kepada rakyat melalui reruai pelbagai kementerian.

Dijangkakan seramai 100,000 hingga 200,000 pengunjung akan menghadiri program berkenaan. – MalaysiaGazette