Keseluruhan pelajar dari SMK Pinawantai, Kudat, SMK Sanzac, Kota Kinabalu dan pelajar Sains Marin, UMS yang mengikuti Festival SensARTS 2023.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini menganjurkan Festival SensARTS (Sensibilization Of Youth Through Arts, Sciences And Digital Technologies) yang berlangsung di Inkubator Akuakultur, Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), UMS.

Pengarah IPMB (UMS), Prof Madya Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah berkata, program anjuran IPMB itu antara lain bertujuan membina sinergi ahli dalam bidang seni, sains dan teknologi untuk menghasilkan karya seni digital bertemakan mysterious and fragile biodiversity.

Menurutnya, program tersebut mampu menjadi medium dalam memupuk kesedaran perlindungan alam sekitar melalui penghasilan karya seni digital.

“Kita dapat melihat karya seni digital yang mempamerkan kepelbagaian dan keunikan biodiversiti flora dan fauna hasil gabungan pengetahuan oleh para penyelidik dan kreativiti artis digital.

“Karya seni ini dapat meningkatkan kesedaran kita tentang kepentingan jaringan biodiversiti yang ada dalam ekosistem daratan mahupun lautan dan keperluan untuk memulihara dan mengurusnya secara mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, karya seni adalah salah satu medium yang dapat mempengaruhi tingkah laku dan mencetus kebimbangan kesan akibat kemusnahan alam sekitar.

Dr. Faihana berkata, dengan penglibatan pelajar sekolah dan universiti, pihaknya berharap program itu dapat menyemai rasa tanggungjawab untuk mengekalkan keseimbangan alam sekitar secara semula jadi.

Seramai 60 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinawantai, Kudat dan SMK Sanzac, Kota Kinabalu menghadiri Festival SensARTS, selain 30 pelajar Sains Marin UMS yang turut sama membantu dan mengambil bahagian.

Turut dihadiri Ketua UScience UMS, Zawawi Tiyunin dan Pengerusi Festival SensARTS, Dr. Fikri Akmal Khodzori.

Program tersebut juga mendapat kerjasama dari Kedutaan Perancis di Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS dan U-Science UMS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast