Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

MELAKA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan bawang tidak akan terjejas susulan kerajaan India mengeluarkan larangan eksport bawang bermula semalam.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya sudah membuat persiapan sekiranya berlakunya perkara sebegini.

“Saya belum mendapat pengesahan rasmi, namun saya jamin tidak akan berlaku kekurangan bekalan bawang di negara ini.

“Bekalan (bawang) ada sahaja kerana kita turut import dari China, Thailand dan Pakistan serta beberapa negara lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Melaka 2023 di sini hari ini.

Berhubung isu sama ada akan berlaku kenaikan harga makanan itu, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, perkara berkenaan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Bernama hari ini memetik laporan Direktorat Perdagangan Luar Negeri India yang menyatakan kerajaan India memutuskan untuk memindahkan eksport bawang daripada kategori bebas kepada larangan hingga 31 Mac tahun depan, bagi meningkatkan bekalan domestik.

Kenaikan harga makanan berkenaan boleh menjadi isu yang mencetuskan pergolakan politik terutama menjelang pilihan raya Parlimen di negara itu tahun depan.

India merupakan pengeksport terbesar bawang ke negara ini iaitu 36 peratus, manakala China dan Thailand masing masing sebanyak 20 dan tujuh peratus. – Bernama