Tuesday, February 27, 2024
Home Nasional Hujan tidak halang polis siasat kes bunuh Zayn Rayyan

Hujan tidak halang polis siasat kes bunuh Zayn Rayyan

Anggota polis mengawal jalan keluar dan masuk ke aparment dimana adik Zayn Rayyan dipercayai di bunuh ketika tinjauan Malaysia Gazette di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 08 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – “Tidak kira hujan atau tidak, kita akan teruskan operasi dan siasatan sedang giat dijalankan ketika ini.

“Malam ini selepas bermesyuarat di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) PJ (Petaling Jaya) kita akan adakan operasi malam ini juga. Harap tidak ada gangguan, kata sumber polis ketika di temui di di Damansara Damai, di sini.

Beliau meminta media supaya tidak mengikut polis ketika melakukan operasi malam ini, sebaliknya menunggu makluman seterusnya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang berada di lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan berkata, pihaknya akan menjalankan ‘mass screening’ serta siasatan menyeluruh penduduk di situ termasuk semakan rekod jenayah. 

Polis juga akan meneruskan operasi siasatan dari rumah ke rumah yang telah sejak semalam dan operasi itu melibatkan 2,400 rumah, ujarnya.

“Ini meliputi ‘mass screening’ membabitkan data cap jari orang yang mempunyai rekod jenayah termasuk kumpulan yang terbabit dalam kesalahan seksual. Penduduk tempatan atau orang luar juga kita akan ambil perhatian,” jelasnya

.Hussein berharap kesan cap jari dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dipercayai milik suspek pembunuhan Zayn Rayyan dapat dikenal pasti.

Katanya, keputusan ujian cap jari dan DNA dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

Semalam, polis mengesahkan Zayn Rayyan yang ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya dipercayai dibunuh selepas proses bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak malang itu.
Kanak-kanak berusia enam tahun itu dipercayai dibunuh di lokasi lain dan telah meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya diletakkan di anak sungai terbabit. – MalaysiaGazette