Razlan menyaksikan penyampaian hadiah kepada peserta Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-44 dan Pelncaran Majlis Kontraktor Genarasi Baru (MKGB) PKMM di Dewan Tun Hussein, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kontraktor yang membida untuk melaksanakan projek kerajaan diingatkan supaya menganggap setiap projek yang diperoleh sebagai peluang untuk menunjukkan prestasi pelaksanaan terbaik daripada segi kualiti, produktiviti dan profesionalisme.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, mereka perlu menyiapkan kesemua projek-projek tersebut dalam jangka waktu yang ditetapkan.

Katanya, bagi kontraktor yang telah dianugerahkan dengan projek-projek tertentu, ia adalah satu amanah dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan kerana di dalamnya terdapat hak yang mesti ditunaikan kepada orang lain.

“Saya percaya selain sifat amanah, jika kontraktor Bumiputera terus berusaha dan menitik beratkan sifat kreatif dan berdaya saing, mereka akan berupaya memanfaatkan segala peluang dan sentiasa bersedia mengadaptasi norma baharu yang penuh cabaran dan perubahan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politiknya, Datuk Mohd Razlan Rafii.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-44 dan Pelancaran Majlis Kontraktor Generasi Baru (MKGB) PKMM di Dewan Tun Hussein, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, statistik Kementerian Kerja Raya menunjukkan industri pembinaan dianggarkan mengalami kerugian lebih RM42 bilion sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini pada 18 Mac 2020 sehingga kini.

Katanya, daripada jumlah itu, RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun lalu sehingga September 2021.

Beliau menjelaskan, kesan daripada pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP, sektor pembinaan mencatatkan penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 19.4 peratus pada 2020.

Ujarnya, pada suku pertama tahun ini, sektor pembinaan terus menurun pada kadar 10.4 peratus.

“Namun, Alhamdulillah, angka itu meningkat pada kadar 40.3 peratus pada suku kedua 2021 dan terus meningkat sehingga kini.

“Meskipun berdepan pelbagai kesukaran susulan pandemik Covid-19, saya amat berterima kasih kepada PKMM yang sentiasa setia membantu kerajaan dalam melaksanakan projek-projek infrastruktur terutamanya yang melibatkan kemudahan perumahan khusus kepada rakyat berpendapatan rendah,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan menyedari dalam suasana ekonomi yang begitu mencabar, tidak ramai kontraktor yang sanggup untuk terlibat dalam projek-projek perumahan kos rendah yang kurang memberi pulangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan harga barangan bahan binaan yang masih tidak menentu.

“Berikutan keadaan ekonomi yang sudah memasuki fasa pemulihan, saya berharap PKMM akan mendapat manfaat termasuk pelaksanaan dan projek-projek infrastruktur baru atau yang disambung semula selepas ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Saya percaya, dengan peruntukan melalui Belanjawan 2024 di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri bukan sahaja menjadi pelaburan jangka masa panjang untuk menghidupkan kembali pembanguan fizikal dan ekonomi, tetapi juga akan merancakkan semula aktiviti pelaksanaan projek khususnya bagi kontraktor kecil dan sederhana,” tambahnya. – MalaysiaGazette