Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Akur akan peri pentingnya rakyat untuk ambil tahu kepentingan aduan kerosakan jalan raya, Kementerian Kerja Raya (KKR) menganjurkan sesi penerangan kepada rakyat mengenai penggunaan aplikasi MYJalan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kerja Raya (KKR), Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Latif berkata, sesi pocket talk yang diadakan di Karnival Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) umpamanya adalah salah satu cara KKR mendidik masyarakat tentang pentingnya aplikasi MYJalan.

“Dalam kempen ini selain advokasi kita juga ada buat satu aplikasi mobil MYJalan. Apa beza adalah aplikasi ini dibuat khusus untuk buat aduan tentang kerosakan jalan raya dan dia merupakan aplikasi yang berteraskan konsep no wrong door.

“Ada jalan persekutuan di bawah JKR dan KKR, ada jalan yang bawah PBT KPKT, jadi apa yang kita buat sekarang adalah walaupun jalan raya itu bukan KKR punya, kita ambil semua aduan rakyat, hantar kepada aplikasi dan kami di KKR akan bantu untuk salurkan aduan ini kepada pihak bertanggungjawab,” katanya dalam Sesi Pocket Talk KKR di Karnival Setahun Bersama Kerajaan Madani di SNBJ, hari ini.

Aplikasi MYJalan merangkumi sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya dapat dibaik pulih.

Aplikasi itu ialah platform aduan setempat bagi memudahkan pengguna membuat aduan dan semua jenis aduan jalan akan diterima walaupun yang bukan diselenggara KKR.

Wan Ahmad Nizam berkata, apa yang perlu dilakukan pengadu adalah dengan menjatuhkan pin mengikut lokasi pada aduan masing-masing.

“Sekiranya rakyat berada di jalan raya yang rosak, jalan berlubang rakyat hanya perlu ambil gambar dan pin lokasi tersebut dan hantar terus ke KKR.

“Kalau aduan tersebut dalam kawasan KKR iaitu jalan milik JKR kita akan terus hantar jurutera daerah JKR untuk lihat dan ambil tindakan, bila jurutera daerah sudah lihat dan kita akan beritahu kepada pengadu apa tindakan yang telah kita ambil.

“Kempen itu secara berterusan dan bukan hanya sekali diadakan, kita nak didik dan akan ada libat urus dengan kementerian dan agensi lain,” katanya.

Sehingga 6 Disember lalu, sebanyak 5,836 aduan diterima aplikasi MYJalan berbanding hanya 1,000 aduan pada September lalu.

Ia melibatkan 4,304 aduan mengikut polisi No Wrong Door dan 1,532 aduan secara terus ke JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast