Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata antara rejim Zionis Israel dan Palestin, baru- baru ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, tindakan AS itu sekali gus menggagalkan usaha UNSC mencari jalan penyelesaian konflik rejim Zionis Israel-Palestin,

Menurut beliau, konflik tersebut sehingga kini telah mengorbankan lebih 17,000 rakyat Palestin, di mana kira-kira 70 peratus melibatkan kanak-kanak dan kaum wanita dengan lebih 48,000 yang lain cedera.

“Tindakan tersebut juga seolah-olah menghalalkan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dengan pembunuhan lebih ramai orang awam dan kemusnahan harta benda, fasiliti serta kemudahan perubatan di Gaza,” katanya dalam kenyataan media, hari ini,

Zahari menambah, Seri Paduka juga menzahirkan sokongan kepada pendirian kerajaan yang membantah dan mengecam tindakan veto AS terhadap resolusi yang telah dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan disokong 102 negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Beliau memberitahu, pendirian kerajaan itu ditegaskan menerusi kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Seri Paduka menyeru seluruh rakyat supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban dan penderitaan mereka.

“Seri Paduka turut menyeru seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar konflik rejim Zionis Israel-Palestin itu dapat dihentikan segera serta rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Zionis Israel,” jelasnya.

Zahari berkata, Seri Paduka turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk terus mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin. – MalaysiaGazette