Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Mohd Izani Mohd Zain semasa Career, Entrepreneurship and Skills Festival 2023.

KUALA NERUS – Career, Entrepreneurship and Skills Festival 2023 atau lebih dikenali sebagai CESF’23 kini menawarkan lebih 400 peluang pekerjaan dan penempatan latihan industri kepada bakal graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, karnival kerjaya yang diadakan selama tiga hari bermula semalam itu membuka peluang kepada mahasiswa meneroka pelbagai peluang pekerjaan serta latihan lanjutan.

“Pada masa sama, mereka boleh meninjau latihan industri yang ditawarkan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam karnival itu yang menawarkan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran.

“Komitmen kita adalah untuk membentuk satu ekosistem keusahawanan dan kebolehpasaran graduan yang mapan dalam usaha meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan seiring dengan Pelan Strategik UMT (PSUMT 2023-2027) dalam membentuk pelajar berdaya saing ke arah melahirkan generasi pelapis yang unggul di masa hadapan”, katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, CESF’23 merupakan antara program yang tersenarai di bawah inisiatif Kanvas Siswa Madani @ UMT yang dikelolakan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT bagi mempersiapkan mahasiswa agar dapat menguasai pelbagai kemahiran yang diperlukan dalam memasuki alam pekerjaan, selaras dengan agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Agenda KPT bertujuan meningkatkan peratus kebolehpasaran graduan menerusi Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan KPT dan juga meningkatkan bilangan mahasiswa serta graduan yang menjadi usahawan menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan IPT.

Selain itu, ujarnya, inisiatif tersebut dapat membentuk sahsiah yang murni dengan memberi penekanan kepada program etika sosial, khususnya semasa para pelajar berada di tempat latihan industri atau di tempat kerja.

Mohd Izani berkata, karnival kerjaya itu juga menganjurkan sesi perkongsian antara industri bersama pelajar mengenai pelbagai topik pembangunan kerjaya seperti Pameran Kerjaya dan Temuduga Terbuka, Pitch4Career, Career Talk oleh THRDC, PERKESO, CelcomDigi, Entrepreneurship Business 101 serta Monitization with TikTok.

Majlis turut dihadiri Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu, Farihah Che Husin bagi menyempurnakan majlis perasmian penutupan karnival tersebut. – MalaysiaGazette