KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi sebagai mencabar.
Bekas Menteri Kewangan Kedua itu berkata, ia kerana sektor perladangan dan komoditi negara ini berskala besar dan ia juga merupakan salah satu komponen penting dalam ekonomi negara.
Menurutnya, agrikultur menyumbang 8.9 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar negara.
“Perladangan dan komoditi ini menyumbang 50 peratus dalam agrikultur. Jadi banyak perkara yang saya hendak tengok.
“Lagipun kementerian ini agak mencabar, yang mungkin kita perlu memikirkan di luar kotak.
“Beri saya masa,” katanya ketika ditemui selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini.
Johari adalah pengerusi pasukan petugas untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sejak Mac 2023.
Mengulas mengenai pelantikannya, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, beliau hanya mengetahui pelantikannya pada hari ini. – MalaysiaGazette
















