PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan yang baharu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berazam meneruskan agenda transformasi kesihatan digital secara menyeluruh.
Beliau memulakan tugas secara rasmi buat kali kedua sebagai Menteri Kesihatan hari ini.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu tiba kira-kira 8.15 pagi di KKM disambut oleh timbalannya, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan pasukan KKM diketuai Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
Dr Dzulkefly dilantik sebagai Menteri Kesihatan yang baharu manakala penyandang sebelum ini, Dr. Zaliha Mustafa beralih sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)
Mengulas mengenai fokusnya di kementerian tersebut, Dzulkefly berkata, perkhidmatan penyakit akut yang khusus dan pelbagai disiplin untuk warga emas menjadi perhatiannya.
““Kita punya cabaran dalam penjagaan penyakit akut di hospital termasuk mengemas kini hospital akan saya depani dahulu.
“Itu semua tidak akan dapat kita lakukan dengan baik kalau tidak ada sistem, sekali gus memberi kesan kepada penyampaian.
“Sistem dan faktor penyampaian kita kena tangani dengan polisi yang betul dan saya akan berkerjasama dengan pasukan KKM dan timbalan saya,” katanya kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi KKM pagi ini. – MalaysiaGazette