Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil (tengah) bersama Naib Canselor Asia Pacific University Of Technology And Innovation, Prof Dr Ho Chin (empat kanan) bergambar selepas menandatangani MoU yang disaksikan oleh Pengurus Sumber Manusia & Pentadbiran AP, Nurul Adawiyah Amari, (kiri) dan Ketua Pegawai Perusahaan Inovasi APU, Prof Ts. Dr Vinesh Thiruchelvam. Foto NUR SYADILA AMARI, 14 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Syarikat Advance Pact Sdn Bhd (APSB) telah memeterai kerjasama bersama Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU) melalui satu perjanjian yang telah ditandatangi hari ini bertempat di APU.

AP telah menempatkan dua pegawainya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan dengan fokus pembelajaran kepada projek berkaitan teknologi Artificial Intelligent (AI).

Mereka telah memulakan pembelajaran ini bermula Jun 2023 dan dijangka akan tamat pembelajarannya sekitar 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif APSB, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil berkata, kerjasama ini selain untuk menghubungkan industri dan institut pengajian tinggi dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, ia juga sebagai usaha meningkatkan tahap perkhidmatan penyelenggaran peralatan biomedikal di hospital.

Teknologi AI, katanya, boleh membantu syarikat menjangka kerosakan sesuatu peralatan lebih awal dan ianya dapat memudahkan pengurusan termasuk mengurangkan masa dan kos pembaikan.

“Kita melihat pentingnya untuk memasukkan elemen teknologi AI dalam kerja penyelenggaraan dan syarikat kami ingin sama-sama menyokong agenda Negara dan Kementerian Kesihatan supaya pelaksanaan AI dapat memudahkan semua pihak dalam mengendalikan perkhidmatan menjadi lebih teratur.

“Melalui kerjasama ini kita berharap, proses untuk kerja penyelenggaraan itu dapat dipendekkan di mana kita boleh jangkakan kerosakan sesuatu peralatan itu sebelum ia rosak.

“Jadi kita boleh menjimatkan masa dan kos malah ia boleh melahirkan kakitangan yang produktif di mana tidak memiliki sikap menunggu peralatan rosak dan baru membaikinya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di APU di sini hari ini.

Turut hadir Naib Cancelor APU, Prof Dr. Ho Chin Kuan dan Ketua Pegawai Inovasi Perniagaannya, Prof Ts. Dr. Vinesh Thiruchelvam.

Mengulas lanjut, Siti Ainol menambah, kerjasama dengan APU itu juga akan mewujudkan lagi beberapa produk yang berinovatif ke arah teknologi yang relevan dengan keperluan pasaran semasa.

Ini kerana kata beliau, APU terkenal sebagai universiti yang mengutamakan teknologi terkini di mana memiliki kepakaran dan fasiliti bagi memenuhi keperluan AP.

“APU bukan sahaja menawarkan kepakaran yang ada di kalangan pensyarah mereka tetapi juga satu pusat di mana menyediakan makmal yang memiliki fasiliti terknologi terkini untuk pelajar belajar bagaimana AI itu diwujudkan dari segi pengaturcaraan dan pengekodan serta sebagainya.

Siti Ainol turut mengakui banyak syarikat penyelenggaran dalam industri kesihatan ketika ini namun APSB mahu menjadi syarikat yang berbeza dengan mempunyai nilai tambah di mana selari dengan teknologi semasa. – MalaysiaGazette