TUMPAT –  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesan 96 stor haram disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan di sepanjang tebing Sungai Golok yang terletak di sempadan Malaysia – Thailand.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, kesemua stor itu terletak di antara Pengkalan Kubor sehingga Jeli.

“Dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan selama dua hari bermula 12 Disember lepas, pihak penguat kuasa berjaya menyerbu dan menggeledah lima stor selepas didapati terlibat dalam kegiatan penyeludupan bahan api.

“Dalam operasi itu, kita menahan seorang lelaki berumur 20-an yang sedang mengepam keluar petrol daripada sebuah kenderaan ke dalam tong. Kesemua minyak petrol itu disyaki akan diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek dipercayai antara sebahagian anggota sindiket yang menjalankan kegiatan membawa barang kawalan ke negara jiran dengan upah tertentu dan pihaknya juga sedang mengenal pasti pemilik stor terbabit.

Azman berkata, sepanjang Op Bersepadu dijalankan, sebanyak 84 kes direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM48,854 dan menahan sembilan orang berumur antara 19 hingga 50 tahun atas pelbagai kesalahan.

“KPDN juga merekodkan lapan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan minyak petrol, diesel, minyak masak bersubsidi, ubah suai tangki kenderaan dan gagal menyelenggara buku stok barang kawalan,” katanya. – Bernama