Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Semua operasi feri laluan Langkawi ke Kuala Kedah dan sebaliknya dihentikan masuk hari ketiga akibat cuaca buruk dan laut bergelora.

Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Dr Baharin Baharom berkata, pemberhentian operasi feri itu menjejaskan 3,513 penumpang.

Bagaimanapun katanya, tindakan itu terpaksa diambil disebabkan angin yang bertiup pada kelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ombak setinggi 3.5 meter di perairan Kuala Kedah-Langkawi boleh membahayakan keselamatan penumpang dan anak kapal.

“Sebuah feri yang bertolak daripada Langkawi ke Kuala Kedah pada jam 8.30 pagi yang membawa 589 penumpang terpaksa berpatah balik hari ini.

“Pembatalan feri bagi laluan Langkawi – Kuala Kedah – Langkawi melibatkan trip bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

“Jumlah penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah adalah 2472 orang, manakala dari Kuala Kedah ke Langkawi pula 1041 orang,” katanya.

Menurut beliau, lencongan perjalanan melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis akan dilakukan berdasarkan kepada keupayaan terminal berkenaan menerima jumlah feri pada satu-satu masa berdasarkan kelulusan Jabatan Laut Malaysia.

Penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast