BANGI – Ekoran peningkatan drastik positif Covid-19, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) agar terus memantau situasi tersebut.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Menteri Kesihatan baharu dilantik, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kes penularan pandemik itu masih berada peringkat tidak serius.
“Dia (Dr Dzulkefly) sudah pantau (peningkatan kes) walaupun kesannya tidak serius tetapi minta orang waspada dari sudut kesihatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menasihatkan orang ramai untuk menjaga kesihatan bagi mengurangkan peningkatan kes positif Covid-19.
“Jaga kesihatan,” tegasnya.
Untuk rekod, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan meningkat daripada 6,796 kepada 12,757 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) adalah seiring trend global pada setiap hujung tahun dan majoriti kes mengalami gejala ringan serta tidak memerlukan rawatan hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Radzi Abu Hassan berkata, walaupun terdapat peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan, keadaan di Malaysia masih terkawal dan kemudahan penjagaan kesihatan beroperasi dalam kapasitinya.
Kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) masing-masing meningkat 1.4 peratus bagi setiap 100,000 penduduk berbanding minggu sebelumnya (26 November 2023 hingga 2 Disember 2023).
Secara keseluruhan, peratus kes kematian Covid-19 dari 25 Januari 2020 hingga 9 Disember 2023 adalah 0.72 peratus. – MalaysiaGazette