KUALA LUMPUR – Anak bongsu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, Norashman selamat bernikah dengan gadis pilihannya, Nikola Mulyadi.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Norashman meluahkan rasa syukur dan menyatakan hubungan tersebut merupakan perihal baharu dalam kehidupannya.
“Alhamdulillah! Ini satu perjalanan baharu dalam hidup saya,” tulisnya ringkas yang tidak mendedahkan tarikh pernikahan mereka.
Norashman turut berkongsi gambar bersama Nikola yang anggun berbusana putih di dalam sebuah kenderaan.
Perkongsian gembira tersebut turut mendapat ucapan tahniah daripada orang ramai.
Norashman dan Nikola sebelum ini dilaporkan mengikat tali pertunangan pada April lalu.
Najib tidak dapat menghadiri kedua-dua majlis ini kerana sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan, hukuman dan denda terhadap tujuh pertuduhan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International. – MalaysiaGazette